NASIONAL

121 projek diteruskan selepas rundingan semula

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Sebanyak 121 projek infrastruktur bernilai RM13.93 bilion di seluruh negara yang ditawarkan secara rundingan terus dan tender terhad oleh Barisan Nasional (BN) akan diteruskan selepas rundingan semula harga oleh Kerajaan Persekutuan, dengan penjimatan kos RM805.99 juta.

Ini tidak termasuk projek mega seperti LRT3 dengan kos RM31.65 bilion dan MRT2, dengan kos RM39.35 bilion, yang masing-masing dikurangkan harga kepada RM16.63 bilion, dan RM30.53 bilion. Ini sekali gus menjimatkan kos keseluruhan RM23.84 bilion untuk kedua-dua projek ini.

Dalam kenyataan akhbar, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berkata, ini adalah susulan pegumuman pada 29 Jun, 2018 beberapa langkah awal untuk meningkatkan tadbir urus perolehan kerajaan dan pengurusan kewangan negara, termasuk kajian semula projek-projek yang ditawarkan secara tender terhad dan rundingan terus yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu.

“Berdasarkan kajian semula tersebut, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan tender terbuka bagi projek-projek tender terhad dan rundingan terus yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST). “

“Bagi 121 projek tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan SST, perjanjian tambahan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung Mac 2019 setelah harga dirundingkan semula sebagai usaha rasionalisasi kos projek tersebut, yang sekali gus mengurangkan tekanan ke atas kedudukan fiskal kerajaan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Kini semua perkara terperinci akan diuruskan oleh kementerian masing-masing yang mengendalikan projek tersebut dan tidak lagi membabitkan Kementerian Kewangan.

Berdasarkan perkembangan semasa ini, MOF yakin bahawa pelaksanaan perolehan kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang akan memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada kerajaan dan rakyat.

Kaedah lama pemberian kontrak dikekalkan, dengan perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan untuk menggantikan kelulusan secara rundingan terus atau tender terhad melainkan ada faktor-faktor kecemasan, kepakaran tertentu yang diperlukan ataupun sebab-sebab khas.

Contohnya, kaedah untuk tawaran kontrak kepada kontraktor Gred G1 (dahulunya dikenali sebagai Kontraktor Kelas F) masih sama, hanya ia dijalankan secara saingan terbuka dalam kalangan kontraktor Gred G1 dan bukan seperti dahulu, iaitu menerusi rundingan terus atau dengan keperluan mendapat tandatangan persetujuan daripada Ketua Bahagian parti politik.

“MOF akan sentiasa mengambil inisiatif komprehensif dalam memastikan pelaksanaan perolehan kerajaan selaras dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).” -BERNAMA


Pengarang :