SELANGOR

19 pengusaha padi tamat kursus di Farmers Field School

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 6 MAC: Seramai 19 pengusaha tanaman padi di Tanjong Karang berjaya menamatkan kursus ‘Farmers Field School’ (FFS), Institut Pengurusan Peladang (IPP) yang dianjurkan Jabatan Pertanian Selangor.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, kursus itu dijalankan bagi mendidik peserta menghasilkan padi yang baik, sekali gus meningkatkan pengeluaran padi dengan kaedah betul, bermula daripada pemilihan benih hingga pemasaran

“Seramai 51 tenaga pengajar daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian sendiri, Agro Bank dan lain-lain mengajar secara teori juga pratikal kepada peserta.

“Kursus ini berlangsung selama enam bulan membabitkan 18 kelas keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi FFS dan Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Pertanian Daerah Kuala Selangor, di Dewan IPP di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Pertanian Selangor mula menjalankan kursus itu sejak dua tahun lalu.

Katanya, ia tidak terhad kepada penanaman padi sahaja tetapi turut membabitkan tanaman lain.

“Tahniah kepada peserta dan saya harap mereka dapat mengembangkan ilmu diperolehi kepada rakan pesawah yang lain,” katanya.

Sebelum itu, seramai 19 peserta FFS menerima sijil tamat kursus yang disampaikan Jamal Harizan.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Selangor, Mat Lesak Ngathinee.


Pengarang :