20 peratus PKS milik wanita, kerajaan komited tingkat penyertaan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Norhayati Umor

20 peratus PKS milik wanita, kerajaan komited tingkat penyertaan

OLEH NORHAYATI UMOR

DENGKIL, 4 MAC: Kira-kira 20 peratus perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dimiliki atau dikendalikan wanita di negara ini.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited meningkatkan penyertaan wanita dalam PKS sekali gus membawa pertumbuhan yang ketara dalam ekonomi.


“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan sekitar 20 peratus perniagaan dimiliki, dikendali atau dikelolakan oleh wanita.

“Oleh itu, kerajaan menyedari kesaksamaan gender dan pemberdayaan wanita akan memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi dan mendorong Malaysia ke arah matlamat menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah Selatan, di sini.

Pada masa sama, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyambut baik usaha WEP oleh PLUS Malaysia Berhad.

Katanya, ia selaras dengan hasrat KPWKM terhadap memperkasakan wanita di dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan ekonomi.

“Ia bertepatan dengan usaha untuk memberi manfaat kepada wanita terutamanya golongan ibu tunggal yang tinggal berhampiran dengan kawasan lebuh raya menceburi bidang keusahawanan ini.

“Usaha ini memberi penekanan kepada inisiatif untuk mengarusperdanakan kesaksamaan gender sekali gus memperkasakan, memberi kemahiran dan kompetensi yang relevan,” katanya.

Wan Azizah turut mahu pihak swasta dan korporat lain mencontohi inisiatif PLUS itu dalam memainkan peranan memajukan masyarakat dan tidak hanya bergantung kepada program atau bantuan daripada kerajaan sahaja.

“Inilah yang dinamakan sebagai ‘Giving back to society’.

“Landasan atau peluang disediakan PLUS ini bukan bermaksud mereka yang dipilih boleh terus berpeluk tubuh dan tidak mengambil inisiatif lain untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Terdahulu, PLUS memperkenalkan WEP yang memberi peluang kepada usahawan wanita menyertai program jangka masa panjang itu.

Sejumlah RM5 juta diperuntukkan menerusi program itu termasuk memberi kursus latihan, bimbingan mentor dan bantuan perniagaan kepada wanita yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari lebuh raya antaranya ibu tunggal dan golongan B40 berusia antara 23 hingga 36 tahun.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next