BERITA UTAMASELANGOR

20 tahun bertapak, UNISEL gah cipta nama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Universiti Selangor (UNISEL) terus gah membina reputasi dengan menjadi institusi terpenting di Malaysia, sejak penubuhannya 20 tahun lalu.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, berbekalkan suasana desa di kampus Bestari Jaya dan bandar di Shah Alam, UNISEL menjadi pilihan lebih 30,000 pelajar setakat ini.

“Tidak dinafikan lagi, UNISEL adalah pilihan utama ibu bapa dan pelajar kerana menawarkan yuran pengajian termurah tanpa mengabaikan aspek kualiti pendidikan.

“Bagi peringkat diploma, UNISEL menawarkan yuran pengajian di bawah RM20,000 manakala bagi peringkat ijazah sarjana muda pula bawah RM40,000,” katanya.

Katanya, bagi menggalas pendemokrasian pendidikan, UNISEL memperkenalkan beberapa langkah antaranya Skim Dermasiswa, iaitu yuran pengajian secara percuma yang diberikan kepada pelajar Tahun Asas.

Hasril berkata, UNISEL turut menawarkan trek pengajian khas kepada hafiz dan hafizah al-Quran melalui program Asasi –Trek Huffaz dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan profesional yang holistik juga bersepadu.

“Justeru, pada tahun ini, UNISEL membuka permohonan kepada mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian warga universiti ini pada kemasukan April 2019,” katanya.

Sementara itu, katanya, 1 Januari 2016 menjadi titik permulaan kepada tagline ‘Peneraju Tranformasi’ apabila UNISEL menerima Presiden dan Naib Canselor ketujuh, iaitu Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Katanya, berdasarkan reputasi sebagai profesor cemerlang dalam bidang akademik dan pentadbiran, beliau dilihat sebagai calon yang layak untuk membawa UNISEL ke arah kecemerlangan.

“Sepanjang tiga tahun menerajui transformasi, banyak perubahan dapat dilihat dari pelbagai aspek antaranya proses rasionalisasi fakulti yang menggabungkan lapan fakulti kepada empat fakulti termasuk dua pusat pengajian.

“Langkah itu bagi melahirkan pelajar bersifat ‘multi-discipline’, selain mengoptimumkan tenaga kerja dan kemampuan dengan sumber yang ada,” katanya.

Mereka yang berminat menyambung pengajian di UNISEL boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui www.unisel.edu.my atau terus ke kaunter pertanyaan di kampus Shah Alam atau Bestari Jaya.

Selain itu, boleh menghubungi Azman (0123401740), Juniran (01133907681) dan Amin (0133743450).


Pengarang :