22 pelancong Malaysia terperangkap di kawasan air terjun Lombok | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

22 pelancong Malaysia terperangkap di kawasan air terjun Lombok

JAKARTA, 17 MAC: Sebanyak 22 pelancong rakyat Malaysia dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep, Senaru Baru, Lombok Utara.

Kejadian tanah runtuh di kawasan air terjun itu terjadi selepas berlaku gempa bumi bersaiz melebihi 5 skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia, petang tadi.

Ketua Protokol dan Sekretariat Pemerintah Lombok Utara, Mujaddid Muhas dalam satu kenyataan berkata terdapat 40 pengunjung sedang beriadah di kawasan berkenaan ketika kejadian.


“Setakat ini dua orang disahkan meninggal dunia, proses menyelamat dan evakuasi masih dilakukan,” katanya.

Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok – Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.

Gegaran gempa itu dirasakan di Lombok Utara, Lombok Tengah, Lombok Barat dan sehingga ke Denpasar, Pulau Bali.

Sementara itu seorang ejen pelancong di Mataram, Lombok yang dikenali sebagai ” Pak Arno” berkata, pelancong Malaysia itu menginap di sebuah hotel di Mataram.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang melakukan evakuasi terhadap semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.

“Beberapa orang (pelancong Malaysia) dilaporkan masih hilang,” katanya. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next