BERITA UTAMASELANGOR

3.5 juta manfaat ‘Boost’, belanja tanpa tunai

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BESAR, 16 MAC: Kerajaan Negeri berusaha menjadikan rakyat Selangor sebagai masyarakat pintar meliputi semua aspek kehidupan termasuk membabitkan kemudahan berbelanja.

Pengurus Projek Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Azemah Hassan berkata, bagi tujuan itu, SSDU memperkenalkan applikasi e-wallet, Boost.

Beliau berkata, applikasi itu mendapat sambutan memberangsangkan khasnya masyarakat di Selangor.

“Sehingga kini applikasi itu sudah dimuat turun oleh 3.5 juta pengguna dengan 60 peratus daripadanya adalah pengguna di Selangor.

“E-wallet ini boleh digunakan di pasar raya, restoran, kedai pakaian Jackel, pasar malam dan pasar pagi yang memaparkan QR code kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada program Jelajah 360 Smart Selangor “Alami Smart Selangor”, di Stadium Sungai Besar di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’ menjelang 2025.

Azemah berkata, applikasi itu boleh dimuat naik di ‘Play Store’ dengan menawarkan kemudahan e-wallet bersama deposit maksimum RM250 dan RM1,500.

“Kategori wallet biasa maksimum RM250 dengan perbelanjaan maksimum sebulan RM1,500 dan Wallet Premium pula maksimum RM1,500 dan penggunaan maksimum RM4,500 sebulan,” katanya.

Bagaimanapun tiada hak minima dikenakan untuk pengguna memasukkan nilai wang di dalam e-wallet ini.

Sebelum itu, pada program Jelajah 360 Smart Selangor, segmen Smart Selangor Ke Arah Masyarakat Tanpa Tunai turut diadakan bagi mempromosi gaya hidup pintar kepada masyarakat di Sungai Besar.


Pengarang :