SELANGOR

300 rumah terjejas dalam ribut terburuk di Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 MAC: Ribut yang melanda di beberapa kawasan di Paya Jaras, petang semalam disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah yang mengakibatkan kerosakan 300 buah rumah dan 35 pokok tumbang.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, walaupun sedih tetapi beliau bersyukur ekoran tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

“Saya sudah meminta bantuan daripada pelbagai agensi, semalam dan bersama pegawai turun ke kawasan ditimpa bencana dalam operasi bantuan yang tertumpu kepada kejadian pokok besar tumbang menimpa rumah penduduk.

“Operasi bantuan yang dilancarkan serta merta itu disertai Unit Bencana Pejabat Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional Berhad, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Pasukan Bomba Sukarelawan Saujana Utama, Pasukan Bomba Sukarelawan Kepong dan penduduk kampung,” katanya kepada SelangorKini..

Mohd Khairuddin berkata, operasi itu masih diteruskan hari ini dengan kerja mengutip semua potongan pokok yang dialihkan malam tadi oleh MBSA.

Beliau berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan bersama Pejabat Daerah Petaling kepada mangsa yang terjejas.

“Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani menyatakan komitmen untuk membantu mengurangkan beban mangsa dalam masa terdekat,” katanya.


Pengarang :