SELANGOR

300 wanita meriahkan Sambutan Hari Wanita DUN Permatang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MAC: Seramai 300 wanita memeriahkan Sambutan Hari Wanita peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, pada 9 Mac lalu.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, sambutan itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada wanita di DUN terbabit.

Katanya, pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya pemeriksaan mammogram secara percuma, sembang santai, demostrasi pembuatan kek dan penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kita turut bekerjasama dengan Majlis Kanser Negara untuk membawakan trak mereka bagi memberi kemudahan kepada wanita yang hadir menjalani pemeriksaan mammogram.

“Malah, sambutan diterima amat menggalakkan apabila terdapat lebih 50 wanita menjalani pemeriksaan pada hari terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, katanya, program sembang santai turut membincangkan topik “Semakin Hari Semakin Sayang” yang mengumpulkan 70 penerima IPR di bawah Inisiatif Perkahwinan Belia.

“Selain itu, saya turut menyampaikan Skim Mesra Usia Emas kepada 32 peserta yang hadir,” katanya.


Pengarang :