JOHOR BAHRU, 16 Mac — Amin Aszizi, 20, memakai penutup hidung dan mulut ketika berniaga di Pasar Nelayan Persatuan Nelayan Johor Selatan sebagai langkah pencegahan ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim ketika tinjauan di Kampung Pasir Gudang Baru, hari ini.?Jualan hasil tangkapan laut di pasar tersebut merosot kerana pelanggan bimbang dengan bahan kimia yang mencemari sungai itu.?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Pencemaran sisa kimia jejas pendapatan nelayan

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Insiden pencemaran sisa bahan kimia di Pasir Gudang, sejak 7 Mac lalu, bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk sekitar malah menyebabkan tangkapan dan hasil jualan nelayan merosot.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, seramai 650 anggota persatuan itu dari beberapa perkampungan sekitar mendakwa hasil jualan mereka berkurangan sehingga 50 peratus sejak 10 hari kejadian.

“Pencemaran ini menyebabkan 250 nelayan dari empat kampung di sekitar Sungai Kim Kim iaitu nelayan Orang Asli Telok Kabung, Kampung Perigi Aceh, Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Gudang Baru, yang menjadikan sungai itu sebagai punca rezeki, terjejas,” katanya yang ditemui di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 400 nelayan sekitar turut menerima tempias pencemaran itu termasuk nelayan Tanjung Langsat, Kong Kong, Kampung Sungai Tiram dan Bakar Batu apabila hasil jualan merosot kerana orang ramai takut untuk membeli hasil tangkapan laut mereka.

“Kejadian ini turut menyebabkan berlakunya lambakan ikan di kalangan nelayan termasuk yang didaratkan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru kerana orang ramai tidak datang membeli ekoran dikhuatiri tercemar,” katanya yang menjadi nelayan sejak 35 tahun lepas.

Beliau berkata, kebiasaannya jualan nelayan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru dianggarkan sebanyak 100 kilogram hingga 150 kilogram sehari dengan nilai jualan RM3,000 hingga RM4,000 namun, ia menurun kepada 18 kilogram hingga 30 kilogram sehari sejak 10 hari ini dengan nilai jualan antara RM300 dan RM600.

Katanya, sejak empat hari lalu, sebanyak dua tan ikan dan hasil laut terkumpul terpaksa disimpan di peti sejuk di pasar itu kerana ketiadaan pembeli, yang dianggar kesemuanya bernilai RM5,000.

“Permintaan terhadap kupang juga merosot. Biasanya saya mampu menjual 500 kilogram hingga 1 tan sehari kepada peraih di sekitar bandaraya ini dan Batu Pahat, namun, ia kini berkurangan kepada 100 kilogram hingga 300 kilogram sahaja sehari,” katanya.

Azli berkata, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap kesemua ikan dan hasil laut yang dijual di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru kerana kebanyakan ikan berkenaan bukannya dari Sungai Kim Kim sebaliknya dari laut Selat Tebrau timur dan kawasan nelayan lain seperti Sedili, Endau, Mersing serta Batu Pahat.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak bertanggungjawab berkaitan dengan industri perikanan dapat memberikan penjelasan bahawa hasil laut itu selamat untuk dimakan sekali gus dapat memberi kelegaan bukan sahaja kepada nelayan tetapi juga pembeli.

Berhubung pencemaran di Sungai Kim Kim yang kaya dengan ikan kitang, selangat, belanak, belukang dan siput, beliau difahamkan lebih 40 laporan polis dibuat nelayan Orang Asli Teluk Kabung sejak 6 Mac, yang melaporkan terhidu bau busuk selain air sungai terlibat bertukar keruh dan menyebabkan ikan mati. -BERNAMA

 

Kapsyen foto: JOHOR BAHRU, 16 Mac — Amin Aszizi, 20, memakai penutup hidung dan mulut ketika berniaga di Pasar Nelayan Persatuan Nelayan Johor Selatan sebagai langkah pencegahan ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim ketika tinjauan di Kampung Pasir Gudang Baru, hari ini.
Jualan hasil tangkapan laut di pasar tersebut merosot kerana pelanggan bimbang dengan bahan kimia yang mencemari sungai itu.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA


Pengarang :