GLOBALNASIONAL

4 butir bom meletup di Satun

SATUN, 10 MAC: Empat butir bom dilaporkan meletup, di Wilayah Satun di selatan Thailand malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Ketua Polis Muang Satun, Kol. Pacharapol Na Nakorn berkata, dalam kejadian pertama kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan), sebutir bom dipercayai meletup di dalam tong sampah di depan Balai Polis Satun.

Dalam kejadian kedua pada 10.50 malam (waktu tempatan), beliau berkata, sebutir bom meletup di tempat letak kenderaan balai polis itu yang mana ia dipasang di sebuah motosikal sebelum diletupkan.

“Siasatan skuad bom (EOD) mendapati bom yang digunakan dalam insiden itu adalah bom buatan sendiri. Tiada serpihan bom ditemui,” katanya lapor Bangkok Post.

Kereta dan motosikal di tempat letak kenderaan balai polis mengalami kerosakan akibat insiden itu.

Pacharapol berkata, dua bom lagi meletup di hadapan kedai runcit , di daerah Muang, masing-masing pada 4.20 pagi dan 5.10 pagi.

Sementara itu, polis turut menemui empat objek yang mencurigakan di Daerah Pakpayun, Wilayah Pattalung, kira-kira 150 kilometer dari sini.

Siasatan lanjut sedang dijalankan.


Pengarang :