PBTSELANGOR

41 kilang haram di Klang diarah henti operasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 MAC: Kira-kira 41 kilang yang beroperasi secara haram sudah diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK), kata Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, enam kilang haram sudah ditutup sepenuhnya sementara dua kes dalam proses siasatan mahkamah.

“Untuk makluman, 29 pemilik kilang juga masih menunggu permohonan lesen, namun masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga lesen diluluskan,” katanya ketika menyertai Operasi Kilang Haram di sekitar Pulau Indah, di sini, pagi tadi.

Operasi membabitkan 20 penguat kuasa itu turut memeriksa lima kilang dan mendapati empat daripadanya beroperasi tanpa lesen.

Antara kilang yang disita dan dikompaun termasuk kilang memproses ayam, kilang memproses plastik dan kilang memproses minyak hitam terpakai.

Pada masa sama, Mohd Yasid turut menggesa pemilik kilang mematuhi arahan dikeluarkan MPK.

“Contohnya hari ini, kita buat pemeriksaan tetapi pengurus dan pemilik kilang semuanya lari, yang tinggal hanyalah pekerja mereka sahaja.

“Tolong beri kerjasama dan untuk makluman, pegawai perlesenan kita hampir setiap hari turun padang membuat pemeriksaan, malah ada kilang sudah dikenakan kompaun berulang kali,” katanya.


Pengarang :