BERITA UTAMASELANGOR

424 polis dilantik selia tahap keselamatan masjid

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC : Seorang anggota polis dilantik selaku Pegawai Perhubungan Masjid di setiap 424 masjid seluruh Selangor bagi membendung kes jenayah yang sering terjadi, di kawasan ibadat.

Ketua Polis Selangor, Dato’ Noor Azam Jamaludin berkata, pelantikan menerusi Program Satu Masjid Satu Polis (1M1P) adalah inisiatif Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mempertingkat mutu perkhidmatan khasnya dalam usaha pencegahan jenayah.

Katanya, anggota dilantik perlu melakukan lawatan berkala ketika solat lima waktu dan sembahyang Jumaat mengikut jadual ditetapkan bagi mendapatkan reaksi kariah berhubung tahap keselamatan masjid.

“Inisiatif ini dijalankan susulan beberapa kes jenayah yang sering berlaku, di kawasan masjid. Kita tidak mahu kejadian ini berulang lagi, sekali gus berusaha menjaga kesucian rumah Allah SWT ini daripada jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pelancaran Program 1M1P di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau menyeru masyarakat untuk bekerjasama dengan polis bagi menangani masalah jenayah yang berlaku, di sekitar kawasan ibadat.

Katanya, setiap masjid turut dilengkapi peti aduan dan papan tanda untuk masyarakat memberikan maklumat kadar jenayah yang berlaku.

“Statistik polis Selangor menunjukan 321 peti aduan dan 318 papan tanda dipasang di beberapa masjid di Selangor, manakala selebihnya sebanyak 103 peti aduan dan 106 papan tanda masih belum dipasang.

“Maka dengan ini, saya memohon ahli jawatankuasa masjid yang berkenaan dapat mengambil tindakan untuk memasang peti aduan dan papan tanda, sebelum 31 Mac ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, berdasarkan statistik Polis Selangor, sebanyak 89 kes dilaporkan berlaku di kawasan masjid membabitkan pecah tabung, kecurian beg dan kehilangan motosikal sekitar tahun lalu, manakala 17 kes, dari Januari hingga Mac tahun ini.

Program 1M1P itu adalah inisiatif yang mula diperkenalkan Kontinjen Polis Terengganu pada 25 Januari 2013 dan difahamkan ia akan diperluaskan di masjid seluruh negara pada masa akan datang secara berperingkat.


Pengarang :