GLOBALNASIONAL

9 maut dalam insiden bangunan runtuh di Nigeria

LAGOS, 14 MAC: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala ramai lagi masih terperangkap selepas bangunan yang menempatkan sebuah sekolah dan beberapa unit pangsapuri runtuh, pada Rabu di hab komersial Lagos, Nigeria.

Seorang pegawai penyelamat tempatan memaklumkan kepada agensi berita China Xinhua bahawa sekurang-kurangnya sembilan mayat ditemui, dan sekolah di bangunan tiga tingkat dalam kawasan Ita-Faji, di Pulau Lagos itu mempunyai 172 murid berdaftar.

Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan di wilayah barat daya Nigeria, Ibrahim Farinloye berkata, sukar untuk memberikan jumlah mangsa yang terkorban atau cedera kerana operasi menyelamat masih berlangsung.

“Kebanyakan mangsa yang maut adalah murid sekolah rendah swasta di bangunan itu dan kira-kira 50 lagi berjaya diselamatkan,” katanya.

Hospital Umum Pulau Lagos yang menempatkan kebanyakan mangsa terselamat untuk rawatan mengesahkan bahawa 41 orang berada dalam “keadaan stabil.”

Pegawai bangunan negeri Lagos turut memaklumkan, bangunan itu ditandakan sebanyak tiga kali untuk dirobohkan.

Murid sekolah terbabit sedang belajar dalam kelas kira-kira 10 pagi waktu tempatan apabila bangunan itu runtuh tanpa amaran yang turut menjejaskan penduduk dan pemilik kedai berhampiran.

Punca runtuhan belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Presiden Nigeria Muhammadu Buhari, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Abuja pada Rabu, menzahirkan rasa dukacita beliau berhubung insiden runtuhan yang menyebabkan kemalangan jiwa, terutama kanak-kanak.

Presiden itu turut meminta kerajaan negeri Lagos, yang merupakan hab ekonomi Nigeria, “melakukan segala yang diperlukan agar insiden tragis sedemikian tidak berulang pada masa akan datang.” –BERNAMA


Pengarang :