GLOBALNASIONAL

90 orang sesak nafas ekoran gas bocor di timur Iraq

BAGHDAD, 16 MAC: Kira-kira 90 orang mengalami sesak nafas selepas berlaku kebocoran gas klorin di bandar timur Kut, ibu kota Wilayah Wasit.

Menurut laporan agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Iraq pada Jumaat, bagaimanapun berkata, kebanyakan mangsa mengalami sesak nafas yang tidak serius.

“Insiden berlaku di sebuah kemudahan rawatan air kira-kira 180 kilometer di tenggara ibu kota Baghdad,” kata jurucakap kementerian, Sayf al-Badr.

Situasi itu memaksa Jabatan Kesihatan Wasit mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengawal keadaan.

Bagaimanapun, kementerian tidak memaklumkan sama ada insiden disebabkan sabotaj atau kemalangan.

Berdasarkan kes sebelum ini, militan Daesh menggunakan gas klorin untuk menyerang orang awam dan pasukan keselamatan Iraq.

Keadaan keselamatan di Iraq bertambah baik selepas militan berjaya diperangi, pada lewat 2017, namun masih terdapat saki baki pengganas yang bersembunyi di padang pasir dan beberpaa kawasan lain untuk melancarkan serangan. -BERNAMA


Pengarang :