SELANGOR

983 unit rumah Smart Sewa di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Sejumlah 983 unit rumah Smart Sewa di seluruh Selangor sedang dilaksanakan setakat ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, daripada jumlah itu sebanyak 341 unit sudah disewakan, 101 sudah siap dan akan dibuka untuk permohonan manakala 541 sedang dalam proses pemilikan serta pembinaan.

“Antara unit sudah disewakan adalah lima unit di Pangsapuri Tun Teja, Alam Impian; Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16 (41); Pangsapuri Taman Damai Utama, Kinrara-Puchong (110); Pangsapuri @ Jalan Kereta Api Lama , Kapar (64); Pangsapuri Arista (11); Pangsapuri Azaria (50); Pangsapuri Asteria (50) dan Bandar Seri Coalfields (10).

“Selain itu, antara 101 unit yang akan dibuka permohonan kepada orang awam adalah di Pangsapuri De Kiara, Setia Alam (30 unit); Pangsapuri Seroja, Setia Alam (11); Apartment Trifolis, Bukit Tinggi (30) dan Pangsapuri Taming Mutiara, Cheras (30),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri Sementa, Daroyah Alwi berhubung Rumah Smart Sewa Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Manakala, katanya, sejumlah 541 unit Skim Smart Sewa kini dalam proses pemilikan dan masih dalam pembinaan serta dijangka siap untuk disewakan sekitar tahun ini hingga 2020 mengikut daerah.

“Antaranya adalah masing-masing 30 unit di Taman Puchong Utama Jenis B, Puchong; Taman Puchong Utama Jenis C; Pangsapuri Seri Akasia, Puchong; Pangsapuri De Bayu, Setia Alam dan Pangsapuri Harmoni 1, Putra Heights.

“Selain itu, adalah Bandar Bukit Raja Fasa 17B, Bukit Raja (50); Emira @ TTDI Grove, Kajang (10); Jade Hills Jenis A, B, C, D (60); Apartment Simfoni, Semenyih (17) dan Rumah Bandar, Kota Puteri (20),” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan masa depan penyewa rumah Smart Sewa pada masa akan datang, Haniza berkata, mereka akan diberikan pemulangan sewaan bersih sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan dibayar dan boleh digunakan sebagai deposit pembelian rumah lain.

“Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memberikan keutamaan penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit.

“Namun, pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan ditetapkan. Akhirnya, ia membantu pemohon berkenaan untuk memiliki kediaman mereka sendiri tanpa perlu menyewa lagi pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :