SELANGOR

99 kilang plastik haram diberi notis penutupan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri mengesan kewujudan 107 kilang plastik haram yang membabitkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, daripada jumlah itu, 99 kilang plastik haram sudah diberikan Notis Penutupan.

“Daripada 99 kilang haram itu, 48 kilang sudah ditutup sepenuhnya melalui operasi bersepadu.

“PBT akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau perkara ini bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Leong Tuck Chee di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sze Han berkata, sebanyak 127 kes sudah disiasat JAS bagi tempoh Julai 2017 sehingga Februari lalu.

Setakat ini, JAS telah mengambil tindakan mahkamah terhadap enam kes dengan kutipan denda sebanyak RM389,000 dan hukuman satu hari penjara.


Pengarang :