SEPANG, 12 Mac — Pasangan Beregu Badminton Negara pada Kejohanan Badminton All England Aaron Chia (kanan) bersama Soh Wooi Yik sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini selepas memenangi tempat kedua dalam kejohanan tersebut. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONALSUKANKINI

Aaron-Wooi Yik perlu ada mentaliti juara

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman, melihat pasangan regu Aaron Chia Teng-Soh Wooi Yik belum memiliki mentaliti juara yang diperlukan untuk mencipta kejayaan, sekali gus muncul antara gandingan terbaik dunia.

Katanya, aspek itu jelas terpancar semasa pertemuan final All England 2019 di antara beregu negara tersebut dan pasangan Indonesia Ahsan-Hendra Setiawan walaupun Aaron-Wooi Yik berjaya menundukkan beberapa regu terbaik dunia sepanjang kejohanan berkenaan yang membawa mereka ke pentas final.

“Kita boleh nampak dari segi pengalaman, pasangan kita masih belum cukup jika mahu dibandingkan dengan Ahsan-Hendra yang mempunyai pengalaman luas sebagai juara di peringkat antarabangsa. Mereka (Ahsan-Hendra) menggunakan pengalaman itu untuk tewaskan kita.

“Mentaliti juara pemain kita juga belum nampak dan ia jelas dilihat pada perlawanan akhir. Memang di peringkat awal sehingga ke final mental mereka masih kuat dan boleh serap tekanan tetapi tidak di final. Final itu suasananya lain. Jadi itu perkara yang perlu kita titikberatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba dari England di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada masa sama, beliau juga mahu pastikan beregu negara itu sentiasa “laparkan” kejayaan dan tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa selain tampil konsisten dengan prestasi terbaik.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia Wong Choong Hann yang tiba bersama Paulus, berpandangan pasangan negara tersebut menunjukkan peningkatan prestasi.

“Seluruh skuad menunjukkan peningkatan prestasi seperti yang kami jangkakan, tetapi prestasi Aaron-Wooi Yik adalah di luar jangkaan kami apabila mereka berjaya mara ke pusingan akhir All England,” katanya.

Mengakui masih terdapat beberapa kelemahan, Choong Hann berpendapatan latihan yang konsisten dapat membaiki kelemahan selain mengukuhkan keserasian untuk menjadi antara gandingan terbaik dunia.

Beliau turut menasihati beregu negara itu agar lebih fokus dan bersedia dari segi latihan serta permainan untuk menghadapi Kejohanan Terbuka Malaysia 2019 selain memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula Mei ini. -BERNAMA


Pengarang :