SUKANKINI

Aaron-Wooi Yik tempah tiket akhir All England

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Woh Sooi Yik mara ke peringkat akhir dalam saingan badminton Seluruh England selepas menewaskan cabaran pilihan kelapan dari Indonesia, pagi tadi.

Gandingan muda itu kini hanya selangkah mencipta sejarah menjadi pasangan pertama Malaysia menjuarai saingan dalam tempoh 12 tahun apabila turun beraksi dalam acara final, di Arena Birmingham, tengah malam ini.

Aaron-Wooi Yik menewaskan Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian 12-21, 22-20, 21-19 dalam aksi separuh akhir, pagi tadi dan bakal menentang satu lagi pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Memetik laporan asal BH Online, Aaron, 22, dia dan gandingannya Wooi Yik berharap dapat meneruskan rentak itu hingga ke aksi final, apatah lagi ia peluang terbaik untuk mereka memenangi gelaran utama dunia.

“Memang kami amat gembira dengan kejayaan ini. Cuma untuk esok (malam ini) kami enggan terlalu meletakkan tekanan. Kami hanya mahu melakukan yang terbaik,” katanya..

Sementara itu, Wooi Yik pula menaruh harapan dapat memenangi gelaran pertama Seluruh England dalam penampilan sulung mereka di kejohanan itu.

“Ini adalah penampilan pertama kami di Seluruh England dan final pertama di kejohanan utama. Sudah lama Malaysia tidak memenanginya. Saya harap kami dapat memenanginya untuk Malaysia,” katanya.

Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

 


Pengarang :