BERITA UTAMARENCANA

Ada apa dengan buluh?

OLEH NAZLI IBRAHIM

Satu masa dahulu, buluh adalah satu tanaman yang memainkan peranan besar dalam kehidupan manusia sejagat.

Tidak ketinggalan, di Malaysia misalnya, buluh berperanan sebagai salah satu bahan penting untuk membina rumah.

Buluh juga dijadikan rakit yang berperanan sebagai pengangkutan penting bagi menghubungkan kampung-kampung.

Selain rumah dan rakit, buluh juga menjadi bahan utama untuk membuat pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam urusan seharian masyarakat dahulu kala.

Bagaimanapun di era moden ini, kegunaan buluh semakin berkurangan dan dilupakan.

Walaupun buluh boleh dikatakan masih mudah ditemui di negara ini tetapi popularitinya tidaklah sehebat tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

Lazimnya, boleh dikatakan permintaan buluh hanya sedikit meningkat tatkala tibanya perayaan Hari Raya Aidilfitri ekoran ia dijadikan sebagai bahan asas membakar lemang dalam kalangan masyarakat Melayu.

Manakala di hari-hari biasa, pasaran buluh di Malaysia tidaklah begitu memberangsangkan kecuali dalam sektor hiliran seperti kraftangan dan seumpamanya.

Tahukah anda selain jenis buluh yang biasanya untuk dibuat lemang atau buluh lemang, sebenarnya terdapat lebih 1,200 spesis lain yang terdapat di seluruh dunia dengan kira-kira 50 daripadanya boleh ditemui, di Malaysia.

Antara tiga spesis paling popular di Malaysia adalah jenis yang sesuai dijadikan bahan utama pembinaan bangunan iaitu buluh semantan (gigantochloa scortechinii), buluh betong (dendracalamus asper) dan buluh akar (dendracalamus pendulus).

Ciri istimewa buluh

Berbanding tumbuhan lain, buluh adalah satu sumber yang mampan berbanding kayu hutan berikutan sifatnya yang cepat matang dengan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun berbanding kayu hutan yang memakan masa 50 hingga 100 tahun.

Sifatnya yang cepat matang itu menyebabkan buluh dianggap sebagai satu tanaman yang baik bagi usaha pemuliharaan alam sekitar.

Selain memiliki nilai estetika yang tinggi, buluh juga dikatakan mampu menyerap 35 peratus lebih banyak karbon dioksida berbanding pokok lain.

Buluh juga mempunyai keistimewaan daripada segi ketahanan menghadapi gegaran kerana sifatnya yang boleh melentur dan fleksibel.

Ciri-cirinya yang versatil iaitu mempunyai pelbagai kegunaan dan ringan tetapi lebih kuat daripada besi menjadikan buluh sebagai satu sumber yang hampir tiada pembaziran daripada segi penggunaannya.

Potensi buluh sebagai sumber ekonomi

Walaupun tidak dianggap sebagai tanaman komoditi yang memberi sumbangan ekonomi yang besar kepada negara tetapi hakikatnya buluh mempunyai permintaan yang sangat tinggi dalam pasaran global.

Pada tahun 2018 sahaja, pasaran buluh dunia dilaporkan mencecah sehingga 68.8 bilion dolar Amerika setahun dengan didominasi oleh China, India dan Taiwan.

Di Asia Tenggara pula, mengambil peluang potensi ekonomi buluh, Vietnam dan Thailand juga sudah lama mengorak langkah meningkatkan pengeluaran buluh masing-masing dengan Vietnam memiliki keluasan tanaman buluh seluas 1.3 juta hektar dan Thailand 1.02 juta hektar.

Berdasarkan pertumbuhan permintaan global bagi memenuhi keperluan negara masing-masing dan juga pasaran eksport, angka ini diunjurkan terus berkembang 5.0 peratus, pada tahun 2019 hingga 2025.

Pengarah Bahagian Keluaran Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Rahim Sudin dalam satu pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Buluh: Status dan Prospek pada Seminar Pembangunan dan Potensi Produk Berasaskan Buluh’ pada tahun 2014 menyifatkan buluh mempunyai potensi ekonomi yang tinggi.

“Prospek industri buluh dijangka cerah dengan lebih tiga bilion masyarakat dunia dianggarkan bergantung secara ekonomi terhadap penggunaan buluh, pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, pada masa ini penanaman buluh di Malaysia lebih banyak tertumpu kepada industri hiliran.

Statistik pada 2013 menunjukkan terdapat hampir 300 pengusaha berasaskan buluh di Semenanjung Malaysia dengan 85 peratus terbabit dalam pembuatan bakul dan kraf, 10 peratus bahan pakai buang dan lima peratus penghasilan rebung untuk pasaran tempatan.

 

Seorang lagi pembentang kertas, Penyelidik FRIM, Dr Hamdan Husain turut mengakui bahawa industri buluh menyediakan hasil pendapatan, sumber makanan dan perlindungan kepada lebih dua bilion penduduk dunia, pada masa ini.

“China, India dan Taiwan adalah pengeluar utama buluh dunia, manakala Amerika adalah pengguna terbesar produk buluh seperti papan lelantai dan lain-lain.

“Dengan mengambil lima hingga 10 peratus sahaja pasaran dunia buluh, maka ia akan dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan dan meningkatkan industri buluh tempatan,” katanya.

Pertumbuhan pasaran buluh ini dipacu oleh sektor pembinaan, sektor pembuatan seperti tekstile dan pelbagai sektor lain lagi.

Antara produk yang boleh dihasilkan daripada buluh seperti papan lelantai, produk tekstil seperti pakaian dan tuala, perabut, barang perhiasan, alat muzik, kertas dan banyak lagi.


Pengarang :