Selangorkini
SUKANKINI

Adib tak pandang mudah saingan CP115

SHAH ALAM, 20 MAC: Mohd Adib Rosley tidak akan memandang mudah saingan kelas CP115 apabila bakal beraksi dalam kategori terbabit di pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 di Jasin, Melaka pada 23 dan 24 Mac ini.

Setelah beberapa musim beraksi dalam kelas perdana CP130 dan CP150, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu bakal beraksi dalam kategori CP115 dan tempatnya digantikan juara CP115 musim lalu, Tengku Amirul Haffirudin yang akan bergandingan bersama Md Izzat Zaidi dan Md Azhar Abd Jalil di dalam kelas CP150.

Sementara itu, Adib akan bergandingan bersama Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Md Khairi Asyraf Mahmood dalam misi untuk mengekalkan gelaran individu dan berpasukan dimenangi pada musim lalul.

Juara WIRA 2010 itu berkata, beliau tidak boleh memandang mudah saingan kelas CP115 hanya kerana pernah beraksi dalam kelas CP150 sebelum ini.

“Cabarannya tidak kurang hebat terutama dengan kehadiran pelumba muda yang pantas dan agresif.

“Pada masa sama, saya bukan menanggap perubahan kelas ini sebagai ‘turun pangkat’ kerana pasukan mempunyai strategi tersendiri terutama dalam misi kami untuk mengekalkan gelaran keseluruhan dimenangi pada musim lalu.

“Saya akan memberikan yang terbaik dan pada masa sama akan membimbing dan mengatur strategi bersama Fareez dan Khairi Asyraf supaya dapat menghadiahkan podium kepada pasukan di Jasin minggu ini,” katanya.

 


Pengarang :