SELANGOR

ADLA landasan terbaik wanita perkasa diri

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Institusi Penasihat, Pembangunan, Pembelajaran dan Pencapaian (ADLA) adalah landasan terbaik terutama kepada wanita untuk memperkasakan diri mereka.

Pengasas ADLA Group Sdn Bhd (ADLA), Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan berkata, institusi itu membuka peluang kepada wanita untuk mencapai impian mereka tidak kira dalam bidang kerjaya, perniagaan, keluarga mahupun masyarakat.

Katanya, adalah penting untuk seseorang wanita itu mempunyai mentor sebagai panduan dan bantuan kepada mereka bagi terus mengorak langkah memburu kejayaan.

“Kami di ADLA mahu melihat wanita diperkasa dalam pelbagai bidang dan mempunyai keyakinan sebagai persediaan menempatkan diri ke tahap lebih tinggi, sekali gus berada dalam kelompok pembuat keputusan atau memegang jawatan berpengaruh.

“Saya faham wanita mempunyai banyak peranan dan tanggungjawab, namun ia bukan penghalang untuk kita duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa, sebaliknya perlu berusaha serta tidak mensia-siakan peluang yang ada,” katanya yang juga dikenali sebagai Dr Leez.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penutup International Winning Women’s Day 2019 di Dewan Perdana Felda, D’ Saji Keramat, di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Masdiana Muhamad yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada masa sama, Dr Leez yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar berkata, pihaknya mengalu-alukan wanita untuk menyertao ADLA dan komited memperkasakan diri.

Difahamkam, ADLA tercetus apabila Dr Leez mempunyai minat untuk membantu usahawan mempelajari dan mengembangkan ilmu keusahawanan, sekali gus berjaya dalam perniagaan serta kehidupan.

Terdahulu, majlis International Winning Women’s Day 2019 itu turut melancarkan “Winning Women Coffee Table Book” selain meraikan 30 wanita hebat dalam kerjaya masing-masing.


Pengarang :