Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto ihsan Sky Mirror
SELANGOR

ADN bimbang, Sky Mirror lemah aspek keselamatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC: Lokasi pelancongan Sky Mirror di Kuala Selangor dilihat lemah dari aspek keselamatan terutamanya pengangkutan bot yang membawa pelancong tempatan mahupun luar negara.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, beliau bimbang Kerajaan Negeri dan Persekutuan berisiko menerima nama buruk sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan pelancong.

Katanya, ia berikutan lokasi pelancongan itu menerima pelancong paling ramai dari Negara China.

“Saya kesal kerana Sky Mirror ini dipromosikan sehingga ke luar negara termasuk Ireland dan beberapa negara lain, tetapi aspek keselamatan terabai.

“Lebih menakutkan apabila ada pengusaha bot tanpa lesen membawa penumpang sehingga 30 orang, dan sudah tentu ia membahayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohd Shaid berkata, beliau berharap supaya Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandang serius isu terbabit daripada terus meruncing.

“Saya juga tidak mahu lagi mendengar ada pemilik bot yang didakwa membayar pihak tertentu bagi membolehkan operasi haram mereka berjalan lancar.

“Kegiatan ini perlu dicegah segera supaya tidak ada kecelakaan berlaku,” katanya.

Kini, Sky Mirror menjadi lokasi wajib pelancong ketika berkunjung ke Kuala Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Lokasi itu turut menerima jolokan Salar De Uyani Malaysia kerana seakan sama dengan Salar De Uyani di Bolivia iaitu hamparan tebing pasir pantai seakan cermin.

Foto Kredit: Tourism Selangor / Sky Mirror Tour & Travel


Pengarang :