BERITA UTAMASELANGOR

ADN bukan Islam berselendang, solidariti insiden Christchurch

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Sebagai tanda solidariti terhadap insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu, beberapa Ahli Dewan Negeri wanita bukan Muslim menunjukkan rasa hormat dengan memakai selendang semasa Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Antara mereka yang kelihatan memakai selendang pada Persidangan DNS adalah Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan ADN Balakong, Wong Siew Ki.

Difahamkan, Kempen “Head Scarf for Harmony” itu diwujudkan selepas wanita di New Zealand takut keluar rumah dengan tudung kepala yang mungkin menjadi sasaran keganasan.

Berdasarkan kempen itu, mereka digalakkan untuk menyebarkan mesej kemanusiaan sejagat dan sebarkan kasih sayang sesama insan di seluruh dunia menerusi poskan gambar atau status di sosial media samada Facebook, Twitter atau Instagram masing-masing.

Terdahulu, insiden penembakan secara rambang itu, berlaku pada 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia), Jumaat lalu meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa manakala puluhan yang lain cedera.

Tragedi itu turut menyaksikan seorang remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang itu.

 

 


Pengarang :