SELANGOR

ADN cadang bina pengkalan penguatkuasa pantai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Pengkalan penguatkuasa perlu dibina Kerajaan Negeri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar bagi mengelakkan pencerobohan perairan negara oleh nelayan luar.

Ahli Dewan Negerinya, Rizam Ismail berkata, ketiadaan pengkalan penguatkuasa bagi menempatkan polis marin dan juga Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia menyebabkan tindakan undang-undang lambat diambil.

“Pengkalan paling terdekat setakat ini ialah di Klang, dan ini menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk ke Sungai Air Tawar untuk mengambil tindakan.

“Jadi dalam tempoh waktu itu, penceroboh ini sempat melarikan diri dan mungkin sempat minum teh terlebih dahulu, jadi saya cadangkan supaya pengkalan penguatkuasa dibina secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Rizam berkata, pencerobohan bot pukat tunda juga menjejaskan hasil laut akibat tangkapan turut merosakkan ikan kecil yang masih belum matang.

“Nelayan juga memaklumkan pencerobohan itu turut meragut benih kerang, ini menyebabkan mereka merosakkan ekosistem yang sedia ada,” katanya.


Pengarang :