SELANGOR

ADN gesa tindakan tegas kilang haram cemar bau dan sungai

 

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 MAC: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mendesak pihak berwajib mengambil tindakan tegas ke atas kilang haram di Telok Gong yang menyebabkan pencemaran bau dan sungai ekoran aktiviti pembakaran tayar terpakai secara terbuka.

Beliau mendakwa, aktiviti tidak bertanggungjawab itu berlaku hampir setiap malam sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan dan kacau ganggu penduduk setempat.

“Saya dan penduduk sudah banyak kali membuat aduan kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan tegas dan menutup kilang itu.

“Bagaimanapun, kilang haram berkenaan masih terus beroperasi sehingga kini tanpa menghiraukan kesihatan dan keselamatan penduduk,” katanya.

Azmizam berkata, sekiranya masalah itu terus berlarutan, tidak mustahil insiden seperti di Pasir Gudang, Johor akan berlaku di Kampung Telok Gong, di sini.

Katanya, pencemaran sungai berdekatan turut berlaku kesan daripada aktiviti haram itu sehingga menyebabkan ikan mati sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.

“Adakah pihak Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Daerah dan Tanah hanya akan mengambil tindakan sekiranya berlaku kematian dalam kalangan penduduk setempat?

“Saya berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan kerana bimbang sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.


Pengarang :