SELANGOR

ADN lancar kempen banteras pembakaran terbuka di Johan Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 7 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis melancarkan Kempen Banteras Pembakaran Terbuka Tanah Gambut Johan Setia bagi mengatasi masalah kebakaran, di kawasan itu.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kempen itu bagi membudayakan pembabitan penduduk dalam usaha melestarikan keindahan dan kesejahteraan kawasan tanah gambut.

“Pada masa sama, penduduk akan bertindak sebagai ejen pemberi maklumat berkenaan laporan pembakaran terbuka dan boleh melakukannya melalui kaedah laporan menggunakan aplikasi whatsapp sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kempen berkenaan turut mendapat kerjasama ahli majlis, Pejabat MPKK Kampung Johan Setia serta sokongan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan kempen itu, pejabat Ahli Majlis Zon N49 juga akan dijadikan sebagai pusat ‘one stop centre’, selain melantik dua koordinator penyelaras aduan jika berlaku pembakaran terbuka.

“Diharapkan dengan pelancaran kempen ini, kegiatan pembakaran terbuka dapat dibanteras demi keselesaan rakyat khususnya di kawasan Johan Setia dan penduduk sekitarnya.

“Semoga kelestarian kawasan Sungai Kandis dapat dipelihara kerana kemakmuran rakyat menjadi agenda semua untuk kita lebih maju bersama,” katanya.

 


Pengarang :