SELANGOR

ADN menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor menjunjung kasih ke atas titah ucapan perasmian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2019.

ADN Morib, Hasnul Baharuddin berkata, titah baginda meliputi pelbagai aspek termasuk isu ekonomi, alam sekitar, hal ehwal agama Islam dan hal berkaitan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Berkaitan OKU kita seharusnya lebih prihatin dan memberikan hak sama rata dan juga mungkin ada peluang pekerjaan yang boleh ditingkatkan untuk golongan ini.

“Baginda juga menyentuh isu agama membabitkan pengurusan masjid yang walaupun tidak secara langsung tetapi baginda mahukan institusi masjid digunakan pihak tertentu untuk agenda politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas selesai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2019 di sini, hari ini.

ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pula berkata, baginda turut prihatin dengan isu membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, walaupun PBT di Selangor berada dalam kelasnya tersendiri, namun masih terdapat ruang penambahbaikan perkhidmatan yang boleh dilaksanakan.

“Pada masa sekarang, bila ada masalah PBT akan uruskan melalui sistem aduan tetapi di sebabkan PBT kita banyak yang dapat lima bintang maka saya berpendapat kita mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Ini dapat dilihat di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya di mana penduduk pada hari ini sudah berada pada tahap mahukan PBT lebih pro aktif menangani sesuatu masalah,” katanya.

Selain itu, Michelle turut menyambut baik titah baginda yang menggesa supaya semua pihak tidak menyebarkan berita berunsur fitnah dan menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Sementara itu, ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, titah ucapan Sultan Sharafuddin sarat dengan nasihat dan panduan kepada ADN yang bakal bersidang minggu ini.

“Titah ucapan baginda wajar menjadi panduan semua ADN ketika berbahas nanti supaya mampu memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri.

“Baginda turut memfokuskan isu pelaburan yang semakin meningkat di Selangor di mana ini menjadi cabaran bukan Kerajaan Negeri sahaja tetapi kepada semua pihak untuk meningkatkan lagi ekonomi negeri,” katanya yang juga merupakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

ADN Dengkil, Adhif Syan Abdullah, titah ucapan baginda jelas mencerminkan keprihatinan baginda khasnya membabitkan kesejahteraan rakyat.

“Titah tuanku menyentuh semua aspek terutama sektor yang mampu mempengaruhi kesejahteraan rakyat baginda,” katanya.


Pengarang :