SELANGOR

ADN Sungai Ramal serah sumbangan SMUE RM80,000

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Sejumlah RM80,000 khairat kematian di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diserahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal kepada 32 pewaris warga emas yang sudah meninggal dunia.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Negerinya, Mazwan Johar, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal, pada 28 Mac lalu.

Mazwan dalam kenyataan di Facebooknya berkata, setiap peserta menerima RM2,500 mewakili mereka yang sudah meninggal dunia dan berdaftar dengan SMUE.

“Semoga pemberian ini dapat membantu meringankan bebanan kewangan waris yang menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.

“Malah, sedikit sebanyak sumbangan ini dapat membantu mereka meneruskan kehidupan pada peringkat awal tanpa yang tersayang di sisi,” tulisnya.

SMUE adalah skim terbuka kepada warga emas terutama rakyat Selangor berusia 60 tahun ke atas untuk memohon dan wang itu akan diberikan kepada pewaris apabila mereka sudah tiada.

Bantuan itu dapat digunakan untuk pengurusan jenazah dan pengebumian selain menyelesaikan sebahagian hutang si mati.

SMUE antara program terkandung dalam Inisatif Peduli Rakyat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2008.

Sehingga 31 Mac 2017, Kerajaan Negeri sudah membayar RM201,088 juta kepada waris berdaftar.


Pengarang :