SELANGOR

Agenda Semenyih Sihat, Terhubung langkah pertama Aiman jika menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Agenda Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung adalah dua isu pertama menjadi sasaran calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali untuk diselesaikan sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N24 Semenyih.

Muhammad Aiman berkata, agenda itu adalah dua daripada Lima Agenda Aiman diumumkan beliau pada 27 Febuari lalu.

“Sekiranya menang, langkah pertama saya adalah untuk menyelesaikan agenda Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung kerana ini antara keutamaan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain di sini, hari ini.

Agenda Semenyih Sihat adalah usaha menaik taraf klinik kesihatan dan mewujudkan Smart Selangor Mobile Clinic yang dapat memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk.

Manakala Agenda Semenyih Terhubung pula bertujuan memanjangkan perkhidmatan bas Smart Selangor dan menaik taraf terminal bas serta teksi di Semenyih.

Tiga agenda lain meliputi Semenyih Lestari, Semenyih Maju dan Semenyih Selamat.


Pengarang :