BERITA UTAMANASIONAL

Agong berangkat ke istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14.

Acara itu melakar sejarah tersendiri kerana ini kali pertama baginda berangkat merasmikan persidangan berkenaan selepas melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 31 Januari lalu.

Keberangkatan tiba Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, di Dataran Parlimen kira-kira jam 10 pagi disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Sultan Abdullah kemudian diiringi ke Peterana Diraja sebelum lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dimainkan.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan diiringi tembakan meriam 21 das.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Abdullah diiringi ke Bilik Diraja di bangunan Parlimen untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan perasmian.

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini hingga 11 April. -BERNAMA


Pengarang :