BERITA UTAMANASIONAL

Ahli parlimen DAP meninggal dunia

SHAH ALAM, 28 MAC – Ahli parlimen DAP, Datuk Stephen Wong meninggal dunia hari ini di Kota Kinabalu akibat serangan jantung.

Wong, pengerusi DAP Sabah, menjadi ahli parlimen penggal kedua.

Seorang anggota sayap Wanita DAP Sabah memaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), Wong, 64, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu selepas dimasukkan ke hospital itu apabila mengadu sakit dada ketika menyertai aktiviti mendaki bukit, lapor BERNAMA.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut hadir di hospital berkenaan pagi tadi.

Mendiang memulakan pendakian kira-kira 6.30 pagi tadi bersama sekumpulan pendaki di Tambaig Adventure Park, Kampung Duvanson, Putatan dekat Kota Kinabalu.

Wong, yang juga Pengerusi DAP Negeri, merupakan anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal dan menjadi anggota Dewan Undangan Negeri dilantik bagi menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat pada Mei lalu.

Mendiang kali pertama menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Liew Vui Keong, dengan majoriti 1,088 undi selepas memperoleh 14,226 undi.

Pada PRU14 lalu, Wong sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Sandakan (P186) dengan menewaskan calon BN dengan majoriti 10,098 undi.

Wong memperolehi 19,094 undi menewaskan Datuk Lim Ming Ho (BN) yang memperolehi 8,996 undi.

 


Pengarang :