SELANGOR

Aiman mengundi di SMK Engku Husain

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Engku Husain kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Ketibaan beliau di pusat mengundi itu disambut penyokong dan peraih undi PAKATAN.

Beliau yang ditemani isteri, Nurul Filzah Bakhtiar; ibu dan bapanya, turut meluangkan masa untuk menyantuni pengundi yang berada di pusat mengundi terbabit.

Muhammad Aiman juga sempat beramah mesra dengan calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul yang bertembung di pintu masuk utama sekolah terbabit.

Menjawab pertanyaan media, Muhammad Aiman berharap proses pengundian berjalan lancar sehingga pusat pengundian ditutup pada jam 5.00 petang nanti.

“Alhamdullilah, saya ucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berjaya mengawal proses pengundian dengan lancar pagi ini.

“Saya harap kelancaran ini berterusan sehingga semua pusat pengundian ditutup,” katanya.

Pada PRK DUN Semenyih kali ini seramai 53,520 pengundi biasa akan mengundi membabitkan 24 Pusat Pengundian semuanya.

PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umun Ke-14 ini diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Januari lalu.


Pengarang :