SELANGOR

Ambil masa empat jam atasi hutan terbakar di Kajang

KAJANG, 15 MAC: Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa empat jam bagi mengawal kebakaran hutan seluas 2.02 hektar di sekitar Taman Bukit Mewah, semalam.

Kebakaran yang berlaku sekitar 6.30 petang itu hanya dapat dikawal kira-kira 10.30 malam tadi selepas bomba menggunakan kaedah ‘waterbreak’ bagi memadamkan api.

Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam kenyataan berkata, seramai 19 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Bangi, Pandan dan Cyberjaya terlibat dalam operasi pemadaman hutan berkenaan.

Menurutnya, empat jentera penyelamat (FRT), dua jentera air serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi.

“Ketika jentera pertama sampai, api di kawasan berkenaan sedang marak dan bomba menggunakan kaedah waterbreak untuk memadamkan api.

“Keadaan api sedikit sukar dikawal berikutan keadaan yang gelap…bagaimanapun kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :