NASIONAL

Amir Hamzah dilantik CEO baharu TNB

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melantik Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa, 2 April ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, TNB berkata, Amir Hamzah, 51 akan menggantikan Datuk Seri Ir Azman Mohd yang akan meletak jawatan, pada 31 Mac ini.

Amir Hamzah kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Icon Offshore Bhd dari 2016 hingga 2017.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan kanan dengan syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dari 2010 hingga 2016, termasuk sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd selain Naib Presiden (Pemasaran Hiliran) dan Naib Presiden (Perniagaan Pelincir) Petronas.

Semasa dagangan ditutup semalam, saham TNB meningkat enam sen kepada RM12.58 dengan 1.69 juta saham diniagakan. -BERNAMA


Pengarang :