SUKANKINI

Amirul tekad bantu UiTM FC ke Liga Super

OLEH NOR UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 6 MAC: Amirul Ashraf tekad untuk membantu pasukan baharunya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC layak ke Liga Super pada musim akan datang.

Pemain pertahanan itu berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi ditonjolkan pasukan Liga Perdana itu dan akan memperbaiki persembahannya dari masa ke semasa.

“Walaupun berdepan saingan hebat dari pasukan lain namun ia tidak mematahkan semangat saya bersama rakan sepasukan bagi membawa UiTM FC ke Liga Super.

“Saya menzahirkan rasa syukur menyertai UiTM FC dan ini adalah satu platform untuk menonjolkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di majlis pelantikan Presiden UiTM FC di Dewan Kompleks Sukan UiTM di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, komitmen akan diberi sepenuhnya untuk menjadikan UiTM FC sebaris dengan pasukan lain.

UiTM FC mengikat pemain Selangor Bawah 23 itu dan beberapa pemain tempatan lain bagi memperkukuh pasukan.


Pengarang :