SUKANKINI

Anugerah Sukan Negeri Selangor 28 Mac

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor hari ini memaklumkan Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2018 akan diadakan pada 28 Mac (Khamis) ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjuran majlis itu tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada penggiat sukan yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, antara objektif lain majlis itu adalah sebagai pemangkin semangat kepada atlet baharu bagi meningkatkan kualiti sekali gus mengharumkan Selangor ke peringkat tertinggi.

“Diharap juga, majlis ini akan mengeratkan hubungan antara penggiat sukan dengan wakil media.

“Selain itu, ia juga mempertemukan atlet baharu dan bekas atlet di samping memberi ruang mereka bertukar pendapat serta idea dalam mempertingkat kualiti diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, penyampaian hadiah pada majlis itu akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis itu bakal dilangsungkan di Dewan Perdana, Hotel Grand Bluewave Shah Alam, pada jam 3 petang.

Sebanyak lapan anugerah bakal disampaikan iaitu, anugerah Olahragawan, Olahragawati, Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Tokoh Kepimpinan Sukan, Jurulatih Terbaik, Juri dan Pasukan Terbaik.

Dianggarkan seramai lebih kurang 500 orang tetamu hadir pada majlis berkenaan.


Pengarang :