Azizah: Pemimpin politik Perancis akui kempen antisawit tidak berasas | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Azizah: Pemimpin politik Perancis akui kempen antisawit tidak berasas

PARIS, 20 MAC: Beberapa ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis mengakui bahawa kempen negatif Kesatuan Eropah (EU) mengenai minyak kelapa sawit Malaysia adalah tidak berasas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pandangan itu disuarakan ahli Parlimen dan pemimpin politik terbabit, ketika mengadakan pertemuan dengan Wan Azizah di sebuah hotel di sini.

“Ahli Parlimen itu menyatakan bahawa mereka telah pergi ke Malaysia dan merasakan bahawa memang Malaysia mempunyai satu persekitaran yang baik (berkaitan industri kelapa sawit) dan mengakui bahawa kelapa sawit kita telah mendapat publisiti yang negatif.


“Mereka sendiri pernah ke Malaysia dan melihat sendiri dan mereka tahu bahawa kempen negatif ini memang tidak berasas dan mengakui bahawa kelapa sawit Malaysia bukan seperti yang didakwa sebagai ‘bad practice’,” katanya kepada BERNAMA dan RTM di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah dalam rangka kerja empat hari ke Perancis bermula Ahad lalu dengan agenda utama bagi mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.

MOST ialah program sains antara kerajaan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai transformasi sosial.

Wan Azizah berkata, dalam pertemuan itu ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis terbabit turut terkejut apabila dimaklumkan bahawa Malaysia masih mempunyai lebih 53 peratus keluasan hutan.

“Menerusi kempen negatif mengenai industri sawit Malaysia, mereka diberitahu hutan Malaysia telah berkurangan, tetapi sebenarnya kita ada lebih 53 peratus.

“Saya juga memberitahu mereka mengenai hidupan liar kita yang masih ada dan terpelihara seperti harimau Malaysia (Malayan tiger) dan orang hutan,” katanya.

Dua anggota Parlimen Perancis yang hadir dalam pertemuan dengan Wan Azizah itu ialah anggota parti LaREM, Anne Genetet dan anggota parti UDI Meyer Habib. Mereka disertai tiga lagi pemimpin politik Perancis yang lain.

Industri minyak sawit negara berhadapan kritikan meluas dalam beberapa tahun ini, kerana dikaitkan dengan penebangan hutan yang menjejaskan alam sekitar.

Parlimen EU sebelum ini turut meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next