NASIONAL

Balai Seni Negara Langkawi bakal jadi tarikan terbaharu

LANGKAWI, 30 MAC: Balai Seni Negara cawangan Langkawi atau NAG@Langkawi bakal menjadi satu lagi produk pelancongan terbaharu, sekali gus menarik lebih ramai jumlah pengunjung ke pulau bebas cukai ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pemilihan Langkawi sebagai destinasi balai seni cawangan itu dilihat bakal memberikan senario serta potensi baru kepada produk pelancongan melalui seni visual di pulau ini khasnya dan negara umumnya.

Katanya, jumlah itu dapat dicapai menerusi aktiviti pameran dan program seni visual di NAG@Langkawi.

“Menerusi data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Langkawi Tourism, jumlah pengunjung ke pulau lagenda ini dicatatkan lebih dari 3.6 juta orang meliputi pelancong domestik dan antarabangsa tahun lalu.

“Justeru, kita mengharapkan supaya angka itu terus meningkat berterusan dan menjadi salah satu pertumbuhan indeks ekonomi negara yang konsisten,” katanya ketika merasmikan NAG@Langkawi, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamaddin mahu komuniti seni di Langkawi mendapat manfaat keberadaan balai seni tersebut menerusi program serta aktiviti yang boleh dirancang bersama.

“Saya amat mengharapkan akan lebih ramai lagi pelukis yang melihat potensi Langkawi sebagai lokasi seni yang berwibawa. Malah hari ini saya dimaklumkan terdapat beberapa komuniti seni visual yang bergiat aktif seperti Persatuan Artist Seni Visual Langkawi (LAVA),” katanya.

NAG@Langkawi yang terletak di Dayang Commercial Square, Kuah telah memulakan operasi pada 25 Mac yang lalu. -BERNAMA


Pengarang :