SELANGOR

Balu pemandu lori rentung terima sumbangan PERKESO

OLEH UMIRAH IZRIN

PUCHONG, 6 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Yayasan Pelajaran MARA mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan kepada balu Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, yang maut dalam kemalangan, pada 23 Februari lalu.

Bantuan itu diserahkan kepada Khatijah Abdul Karim, 36, oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, di kediamannya, semalam.

Sze Han berkata, bantuan itu bagi meringankan beban balu Allahyarham membesarkan anaknya yang masih bersekolah.

“Khatijah menerima pencen faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat dari PERKESO serta bantuan tunai di bawah skim bantuan khas persekolahan Yayasan Pelajaran MARA.

“Caruman PERKESO sangat penting bagi golongan pekerja mendapat faedah tertentu jika berhadapan sebarang kemudaratan, pada masa hadapan,” katanya selepas menyerahkan cek bantuan kepada balu , di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedia membantu Khatijah melalui pelbagai bantuan lain jika diperlukan.

Terdahulu, seorang pemandu lori tangki minyak maut dalam kebakaran selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan, di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Allahyarham meninggalkan seorang balu yang sedang hamil tujuh bulan dan tiga anaknya termasuk pasangan kembar Mohamad Amar dan Mohamad Amir, 9, serta Nur Afiqah, 8.


Pengarang :