SELANGOR

Bangun kemudahan sukan OKU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri komited membangunkan kawasan sukan dan rekreasi yang inklusif untuk semua golongan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, usaha itu bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan minda, aktif dan sihat.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarahkan memberikan kemudahan infrastruktur sukan kepada golongan atlet OKU bagi mereka menjalani latihan persediaan untuk menyertai sebarang kejohanan yang dirancang.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai kemudahan sukan untuk semua golongan masyarakat.

“Kerajaan Negeri juga sedia maklum mengenai keperluan kemudahan sukan untuk OKU bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin di sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, empat pusat antaranya Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Shah Alam, Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam dan Kompleks 3K Majlis Perbandaran Subang Jaya menawarkan fasiliti sukan OKU.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri peka bagi menyelesaikan masalah itu dan berharap kerjasama semua pihak dalam membantu memberikan pandangan atau cadangan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi inisiatif kemenangan RM100,000 kepada atlet kontinjen negeri Selangor yang berjaya memenangi pingat di PARA SUKMA XIX, Perak 2018.


Pengarang :