SELANGOR

Bantu baiki kediaman mangsa terjejas

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 29 MAC: Kerajaan Negeri akan membantu membaiki atau membina semula kediaman mangsa yang terjejas ekoran bencana ribut di Batu 11, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, keputusan dibuat sewaktu beliau menghubungi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, bagi memaklumkan kejadian terbabit.

Katanya, selain Kampung Gombak Utama, turut terjejas dalam kejadian ribut itu adalah Kampung Sungai Pusu dan Kampung Sungai Cincin.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan ini. Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan memberikan komitmen terbaik dalam membantu mangsa terjejas,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih satu jam melawat mangsa di pusat pemindahan sementara, di Dewan Orang Asli Kampung Gombak Utara, Batu 11 bersama Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dalam kejadian malang itu, dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan lelaki berusia 31 tahun kritikal akibat terkena renjatan dan kini dirawat di Hospital Selayang.

Dalam kejadian petang semalam, lapan termasuk tiga kanak-kanak yang menghuni Pondok Penyayang Raudhah, Batu 11, Jalan Gombak, cedera selepa dihempap pokok susulan hujan dan ribut.


Pengarang :