PBTSELANGOR

Bantuan Kemanusiaan MDKL, Machang pahat sejarah 2014

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MACHANG, 28 MAC: Komitmen Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menghantar misi bantuan kemanusiaan susulan bencana banjir teruk yang melanda Machang, Kelantan, pada 2014 masih terpahat kukuh dalam ingatan sehingga ke hari ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Machang (MDM), Ibrahim Bakri Mat Deris berkata, kejadian meruntun hati sehingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan ke tempat lebih selamat mendorong MDKL menghantar Skuad PANTAS bagi membantu mangsa banjir terjejas di kawasan terbabit.

Katanya, pihak terbabit memberi bantuan dalam dua bentuk fasa meliputi keperluan segera makanan harian dan tumpuan terhadap kerja pembersihan kemudahan awam.

“Kehadiran MDKL kali ini seperti kasih lama kembali bertaut sejak persaudaraan dijalin pada 2014 selepas negeri ini ditimpa musibah banjir yang sangat teruk.

“Bentuk pertolongan sewaktu itu jelas memberi kesan amat mendalam kepada kami,” katanya ketika ditemui media selepas sesi penyerahan bahan promosi Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19), di sini, semalam.

Beliau menerima bahan kempen seperti sijil, plak, cakera padat (CD), poster dan gegantung daripada Yang Dipertua MDKL, Mohd Zain A Hamid.

Selepas musibah banjir melanda negeri berkenaan, MDKL menghantar kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan fasa pertama bersama konvoi PBT yang lain dengan membawa tiga buah lori dan dua buah pacuan empat roda meredah laluan banjir untuk menyampaikan bantuan.

Selain itu, sebuah lori dengan muatan sama turut digerakkan untuk memindahkan semua barang sumbangan kepada mangsa banjir di pantai timur menerusi Pusat Pengumpulan Bantuan Pengkalan Udara TUDM Subang.

Misi bantuan kemanusiaan MDKL turut menggerakkan pasukan kedua seramai 14 anggota bagi menjalankan kerja pembersihan kawasan dipenuhi sampah sarap dan lumpur.

Turut dibawa dalam konvoi pada ketika itu adalah sebuah lori, sebuah van dan sebuah pacuan empat roda serta kelengkapan pembersihan seperti ‘high cutter’, ‘chainsaw’, ‘water jet’, pam air juga generator.


Pengarang :