(Gambar hiasan) Seorang bayi lelaki sembilan bulan meninggal dunia diliwat suami pengasuhnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya pada 27 April lalu
NASIONAL

Bayi 4 bulan meninggal dunia pulang dari taska

IPOH, 9 MAC: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia beberapa jam selepas diambil dari taman asuhan kanak-kanak (Taska), di Bandar Seri Botani, semalam.

Meor Ikram Addnan, 32, berkata anaknya Muhammad Aakif Iskandar disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini kira-kira 6.55 petang.

Katanya, dia menghantar anaknya ke hospital berkenaan setelah dimaklumkan pengasuh bahawa anak bongsu daripada tiga beradik itu lemah dan tidak bermaya kira-kira 6 petang.

“Masa saya ambil anak di taska kira-kira 6.10 petang, anak saya dah tak sedar, badan lembik, kaki tangan semua pucat. Saya terus bawa ke bahagian kecemasan HRPB.

“Doktor sedaya upaya untuk selamatkan anak saya tetapi denyut nadi, jantung otak semua dah berhenti dan anak saya disahkan meninggal dunia kira-kira 6.55 petang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HRPB di sini, hari ini.

Katanya, anak bongsunya itu berada dalam keadaan sihat dan hanya hidung berair kerana selesema sebelum dihantar ke taska berkenaan.

Katanya, dia turut menghantar anak keduanya iaitu lelaki berusia setahun ke taska itu sementara anak sulungnya, perempuan berusia lima tahun.

“Selama saya hantar kedua-dua anak saya ke taska itu, saya periksa tiada kesan lebam,” katanya, menambah mula menghantar Muhammad Aakif Iskandar sejak sebulan lalu, selepas isterinya Ismahani Zainal Abidin, 30, seorang pekerja bank kembali bekerja setelah habis cuti bersalin.

Dia yang bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasar raya, turut meluahkan rasa terkilan kerana pengasuh lewat memberitahu keadaan anaknya.

Meor Ikram berkata, Muhammad Aakif Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larang, di sini selepas solat zuhur, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Adli Tamby mengesahkan menerima laporan kejadian daripada bapa bayi berkenaan. -BERNAMA


Pengarang :