GLOBALNASIONAL

Beberapa kumpulan di Palestin kutuk serangan Israel

BANDAR GAZA, 13 MAC: Beberapa kumpulan di Palestin mengutuk keganasan Israel, di kompleks Masjid Al-Aqsa, di Baitulmaqdis dan menggesa orang ramai bersatu mempertahan tempat suci itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Jurucakap pergerakan Fatah, Atef Abu Saif, dalam kenyataan berkata, ketegangan yang memuncak adalah kesinambungan dasar sembarangan Israel terhadap rakyat Palestin, tanah dan tempat suci mereka, dengan merujuk kepada serbuan di kompleks Masjid Al-Aqsa, di Baitulmaqdis Timur.

“Halangan terhadap jemaah yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa, Pengyahudian, pendudukan, pemusnahan dan deportasi ibu kota (Baitulmaqdis), tidak akan menjejaskan tekad penduduk Palestin untuk terus setia kepada gerakan penentangan serta tanah tumpah darah kami,” katanya.

Katanya, insiden di Baitulmaqdis ekoran sikap komuniti antarabangsa yang sekadar berdiam diri menyaksikan pencabulan rejim itu ke atas semua perjanjian antarabangsa dan hak asasi manusia.

Kumpulan penentang Palestin, iaitu Hamas turut mengutuk insiden itu dan menggesa orang ramai bertegas ketika ingin memasuki dan keluar dari masjid itu apabila mereka ingin berbuat demikian.

Pemimpin pergerakan Inisiatif Nasional Palestin, Mustafa Barghouthi, juga mengutuk serangan Israel ke atas umat Islam.

Memberi amaran bahawa provokasi Israel bertujuan merosakkan tempat suci, beliau berkata, rakyat Palestin boleh menggagalkan agenda itu dengan bersatu padu dan bersikap tegas.

Sementara itu, Nickolay Mladenov yang merupakan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi keamanan di Timur Tengah, menulis dalam akaun Twitter “Saya sedang mengikuti perkembangan di tempat suci #Baitulmaqdis dengan penuh kebimbangan. Tempat ibadat adalah untuk beribadat, bukan untuk provokasi dan keganasan.”

Beliau meminta semua pihak bertenang dan menghormati status quo, di Baitulmaqdis.

Terdahulu, tentera Israel menutup beberapa pintu masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa susulan pertempuran yang berlaku dengan penganut Islam Palestin.

“Tentera Israel menyerbu pekarangan Al-Aqsa dan menyerang beberapa tokoh agama,” kata Firas al-Dibs, jurucakap bagi Pihak Berkuasa Wakaf Agama Baitulmaqdis, sebuah agensi kendalian Jordan yang ditugaskan memantau tempat suci penganut Islam dan Kristian, dalam satu kenyataan. -BERNAMA


Pengarang :