BERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air Selangor mencukupi hadapi musim kemarau

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri menjangkakan bekalan air untuk keperluan rakyat Selangor mencukupi walaupun berdepan musim kemarau sehingga April hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, paras air di tujuh empangan utama negeri berada di dalam keadaan sangat baik sekitar 95 hingga 100 peratus sehingga penghujung tahun lalu.

Katanya, status paras takungan air yang mencukupi untuk membekalkan sumber air ke Loji Perbersihan Air (LPA) menyebabkan tiada operasi pembenihan awan seperti musim kemarau pada 2014 dan 2015.

“Secara keseluruhannya, takungan kesemua empangan negeri adalah dalam keadaan baik dan mampu menampung keperluan LPA dan peemintaan 4,800 juta liter sehari sepanjang musim panas yang dijangkakan sepanjang Mac sehingga April ini.

“Kita juga sentiasa memantau paras bekalan air dalam empangan. Kita juga melaksanakan ‘off-river storage’ (ORS) dan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) bagi membantu untuk mengekalkan kapasiti air diperlukan jika berlaku musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dihoskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Katanya, walaupun berlaku beberapa insiden pencemaran yang menyebabkan henti tugas LPA, sumber air negeri masih terkawal dan bekalan air kepada rakyat tidak terganggu.

Berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA) diterbitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor bagi 2017, Sungai Tengi dan Sungai Bernam direkodkan bersih dengan bacaan 82 serta 80.

Sungai Langat, Sungai Klang, Sungai Selangor, Sungai Sepang dan Sungai Buloh pula masing-masing merekodkan IKA sederhana tercemar sekitar 64 hingga 78.

Beliau berkata, hasil analisis IKA 2017 juga menyaksikan tiada sungai di kategorikan sebagai sungai mati di Negeri Selangor.

Dalam ucapan sama, beliau turut menggesa semua pihak untuk menjaga sumber air terutama bagi mengelakkan berlakunya pencemaran serta memaklumkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin jika berlaku pencemaran.


Pengarang :