Selangorkini
SELANGOR

Belum sedia tawar bas khas Smart Selangor ke sekolah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Selangor belum berhasrat menyediakan perkhidmatan bas khas Smart Selangor untuk menghantar pelajar ke sekolah, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru berkata, perkara itu memerlukan kajian teliti termasuk peruntukan yang akan memberi kesan besar terhadap kewangan negeri.

Tambahnya, Kerajaan Negeri masih mengekalkan Program Bantuan Sumbangan Subsidi Tambang Sekolah di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang.

“Selain itu, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan seperti persaingan dan kesan ekonomi ke atas industri pengangkutan bas sekolah khususnya pendapatan pengusaha yang berkaitan.

“Malah, bagi mencapai matlamat 60:40 pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian, perkhidmatan Bas Smart Selangor sedia ada lebih menepati sasaran mempertingkatkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan awam di laluan sosial berbanding hanya tertumpu kepada pelajar sekolah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berhubung kajian menyediakan bas khas Smart Selangor untuk pelajar, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, objektif Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di laluan sosial adalah lebih tepat bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Pelajar sekolah tidak memberi kesan besar terhadap kesesakan lalu lintas. Bagaimanapun, terdapat juga laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor yang boleh digunakan pelajar ke sekolah dan bas berkenaan turut melalui kawasan persekolahan, institusi pengajian tinggi awam serta swasta,” katanya.

Program Bantuan Sumbangan Subsidi Tambang Sekolah adalah satu bentuk bantuan kerajaan bernilai RM300 yang diberikan kepada setiap anak pekerja dan bekas pekerja ladang untuk ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).


Pengarang :