Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand yang diserang hingga mengorbankan 51 nyawa pada 15 Mac 2019
NASIONAL

BiPPA KEADILAN kutuk kejadian di New Zealand

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya kejadian pembunuhan kejam yang mengorbankan 49 nyawa, manakala 20 lagi parah dalam serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, New Zealand, semalam.

Setiausahanya, Mohd Zawawi Mughni berkata, serangan ketika umat Islam di negara itu sedang bersiap sedia menunaikan Solat Jumaat adalah perbuatan ganas dan kejam.

“Kami mengajak seluruh umat manusia yang cintakan kedamaian dan keamanan menggesa kerajaan New Zealand lebih serius menangani sentimen islamophobia.

“Semua pihak perlu meningkatkan program memupuk semangat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Tidak cukupkah penderitaan dialami rakyat Palestin, Rohingya dan etnik Uighur yang mengalami penindasan serta dinafikan hak mereka kerana mereka seorang muslim?,” soalnya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas dan pantas kepada pihak yang secara terbuka membuat kenyataan yang menimbulkan kebencian antara agama serta kaum.

Katanya, ia akan membentuk perasaan prejudis dan prasangka yang menebal antara kaum serta agama di negara ini yang akhirnya akan menyebabkan kejadian buruk tidak diingini, jika tidak dibendung.

“Pengalaman dari peristiwa 13 Mei dan keganasan di Kuil Seafield pada 018 mengorbankan seorang kakitangan awam ketika menjalankan tugasnya perlu diambil iktibar serta pengajaran oleh seluruh masyarakat Malaysia.

“Mengapa kita perlu mengorbankan keamanan dan kedamaian yang sudah dinikmati ini dengan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama di negara yang kita cintai ini?

“Justeru, saya bagi pihak rakyat Malaysia amnya dan anggota KEADILAN mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya terus menjaga keharmonian dan kedamaian ini serta menolak fahaman ekstrem serta melampau yang boleh menggugat perpaduan di negara ini,” katanya.

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan semoga mangsa ditempatkan di syurga Allah SWT.

Katanya, sebagai tanda solidariti, beliau mengajak semua pihak menunaikan solat ghaib.


Pengarang :