SELANGOR

BN gagal tawar apa-apa tekad, sekadar bijak melaga rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 1 MAC: Barisan Nasional (BN) gagal menawarkan apa-apa tekad kepada penduduk Semenyih sebaliknya hanya mampu melagakan antara satu sama lain.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, sebaliknya Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Muhamad Aiman menawarkan lima agenda sebagai tekad menjadikan Semenyih lebih maju.

“Calon kita saudara Muhammad Aiman tawar lima tekad sebagai komitmen beliau untuk penduduk Semenyih tetapi BN tiada apa-apa yang ditawarkan.

“Datang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tawar nak bawa Rosmah ke Semenyih jika menang. Kamu semua nak ke terima Rosmah datang Semenyih?

“Mereka tak pandai, tapi hanya pandai lagakan orang, tiada dasar atau polisi,” katanya pada Majlis Malam Irama Harapan Semenyih di Bandar Tasik Kesuma, di sini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar turut menyelar kenyataan Najib yang mendakwa pengurangan kadar tol di beberapa lebuhraya hanya menguntungkan pelanggan kelab malam.

“Beliau tidak tahu yang menggunakan tol itu ada dalam kalangan pekerja shift malam, berniaga sehingga lewat malam cari rezeki, inilah nasib kalau biar BN menang.

“Kita mahu menghapuskan tol secara berperingkat, ia bukan mudah sebab BN buat perjanjian yang menyusahkan, kalau hapuskan secara terus pastinya hutang negara bertambah,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya walaupun BN menggunakan pelbagai helah dan menakutkan rakyat dengan sentimen perkauman, namun dengan adanya muafakat, rakyat dapat menilai.

“Untuk teruskan perubahan dan kemajuan secara senada dengan Kerajaan Persekutuan, pelbagai helah BN cuba taburkan, saya percaya dengan adanya muafakat, rakyat akan bangkit melawan kejahatan.

“Kalau tergerak untuk tukar BN, fikirlah..ia tidak akan bawa apa-apa sebab terbukti BN merupakan kerajaan buruk yang ditukar rakyat,” katanya.

Katanya, gabungan PAKATAN juga mampu menterjemahkan demokrasi dan terbukti berjaya memerintah sekali gus memajukan negeri dan menjaga semua kaum.

 


Pengarang :