SELANGOR

BN rampas DUN Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih selepas calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi menang dengan majoriti tipis 1,914 undi.

Beliau memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi.

Dua lagi calon, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 847 undi manakala Kuan Chee Heng atau lebih dikenali Uncle Kentang yang mewakili BEBAS sekadar memperoleh 725 undi.

Jumlah undian pemilih 39,218 daripada 120 peti undi diterima, sebanyak 650 kertas undi ditolak manakala 50 lagi tidak dikembalikan dengan peratus pengundian 73.24 peratus.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.24 Semenyih, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar di Pusat Penjumlahan Rasminya di Dewan Seri Cempaka, Kajang.

PRK DUN Semenyih diadakan apabila wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Pada PRU-14, Allahyarham Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau menang dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

KEPUTUSAN RASMI PRK DUN N.24 SEMENYIH

BN – 19,780
PAKATAN – 17,866
PSM – 847
BEBAS – 725
Undi Ditolak – 650
Undi Tidak Dikembalikan – 50
Majoriti – 1,914


Pengarang :