NASIONAL

‘Budak kerbau’ keluar wad petang ini

KUALA TERENGGANU, 10 MAC: ‘Budak kerbau’ atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis, dibenarkan keluar wad petang ini selepas disahkan tidak mengalami kecederaan serius.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu dikatakan terjatuh selepas beraksi dalam sesi fotografi bersama kira-kira 100 ekor kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh.

“Semuanya berlaku sekejap sangat, mungkin belakang kerbau tu licin sangat, jadi saya tergelincir dan jatuh. Lepas terjatuh memang ada rasa macam pening-pening tapi saya terus bermain dengan empat kawan macam biasa.

“Bila sudah petang sikit, baru rasa macam loya dan muntah-muntah, jadi ayah suruh saya pergi juga ke hospital untuk buat pemeriksaan. Terima kasih untuk semua yang mendoakan. Saya dah sihat,” kata ‘Mowgli Malaysia’ itu.

Katanya, insiden itu tidak menjadikannya serik untuk terus bermain dengan kerbau, malah kejadian terbabit memberi peringatan kepadanya supaya lebih berhati-hati.

Sementara itu,Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya sudah melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terhadap Syukur kerana bimbang jika berlaku sebarang gegaran di bahagian otak akibat insiden itu.

“Hasil imbasan mendapati semuanya berada dalam keadaan normal, tiada gegaran otak yang kita takuti apabila seseorang itu terjatuh, jadi dia dirawat sebagai pesakit biasa sahaja.

“Kita sudah berikan ubat tahan sakit dan kita masih pantau dia di mana setakat pagi ini, kita dapati keadaannya bertambah baik. Insya-Allah dia boleh pulang petang ini dan secara amnya keadaan dia stabil,” katanya.

Remaja yang popular ekoran keakrabannya dengan kerbau peliharaan bapanya itu dimasukkan ke hospital, pada 9 malam semalam. -BERNAMA


Pengarang :